Bahasa Melayu di Blog
Sewaktu mendengar para penceramah di Astaka Minda DBP
mengenai Penulis dan Blog semalam, keputusan menjengah di jiwa saya. Saya
memutuskan untuk menulis di blog ini dalam Bahasa Melayu.
Sebelum ini saya
sentiasa teragak-agak bila hendak mulakan tulisan, sama ada menulis dalam
Bahasa Melayu, iaitu bahasa ibunda saya, atau dalam Bahasa Inggeris. Bila menulis dalam BI, saya berkemungkinan
akan mendapat pelawat daripada pelbagai bangsa dan dari merata pelosok dunia,
di mana BM hanya akan menarik secara logiknya cuma dari rantau Melayu sahaja,
dan kemungkinan sebilangan lain, tetapi tidak besar, Melayu yang berada di luar
rantau Melayu. Penggunaan BI dalam
internet pula adalah sehingga 36% dan BM tidak pun tersenarai dalam bahasa-bahasa
yang digunakan di internet.
Walaupun tidak
disentuh oleh para penceramah, tetapi hati ini berasa bersalah. Jiwa ini perlu menggalas tanggungjawab yang
maha berat itu, sekurang-kurangnya Bahasa Melayu boleh timbul dalam lautan
internet. Bukan tidak ada penulis blog
lain yang mengguna BM sepenuhnya, tetapi blog saya akan meningkatkan bilangan
itu dengan tambahan satu unit. Satu demi
satu, akan jadi banyak.
Ya, ”Jika tidak
aku, siapa? Jika bukan sekarang, bila?”
Untuk memenuhi harapan saya menarik pelawat daripada pelbagai bangsa, saya akan menulis di blog sekunder saya dalam Bahasa Inggeris. Di sini, bahasa resminya adalah Bahasa Melayu.
Comments
Begitu lama kita tidak mengocak minda dalam wacana yang sama.
Mungkin di sini .....