Bila tukul diketuk . . . .
Mahkamah Rayuan memutuskan sebulat suara (3-0) Zamri adalah MB Perak yang sah. Ini merupakan "landmark decision", atau keputusan mahkamah yang akan menjadi rujukan pada masa depan. Ia boleh membawa erti Sultan atau Agong boleh lucutkan mana-mana MB atau PM tanpa ada undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, sekiranya bilangan penyokongnya sudah sah dan terbukti kurang daripada 50%. Tetapi ia masih belum menolak perlunya ada undi tidak percaya melalui surat atau cara lain. Penghakiman bertulis amat dinantikan oleh mereka yang terlibat dengan perundangan. Lagipun saya tidak ada di dalam mahkamah waktu mereka bersidang. Saya serahkan kepada mereka yang lebih mengetahui.
Saya percaya, Nizar akan merayu terus ke Mahkamah Persekutuan, mahkamah paling tinggi dalam perundangan Malaysia. Malah, mungkin bila tulisan ini dipublishkan, dia sudah pun buat pengumuman. Itu hak beliau. Orang lain tidak boleh halang, marah atau beri komen yang tidak sepatutnya. Tetapi komen menyatakan "hakim sudah dibeli", "mahkamah tidak adil" dan apa-apa komen yang membawa maksud sedemikian, kalau bertulis, boleh bawa petaka.
Perkara yang menarik perhatian saya ialah, begitu ramai para loyar (buruk) yang buat komen tanpa ilmu. Komen di Internet, sama ada di blog atau FB, memang panas-panas. Ramai daripada mereka ini yang nampak jauh lebih mengetahui tentang undang-undang daripada para hakim di Mahkamah Rayuan itu. Mereka juga semacam lebih mengetahui daripada hakim Mahkamah Tinggi bila mereka katakan Hakim Aziz benar bila keputusan berpihak kepada mereka. Seolah-olah mereka boleh kata "Aziz, kau pandai, bijak, adil, berani". Dan mereka pula seolah berkata kepada 3 orang Hakim Mahkamah Rayuan, yang pangkat lebih tinggi, pengalaman lebih lama, pengetahuan lebih luas, sebagai "zalim", "tidak adil", "tidak pandai", "kena beli" dan macam-macam.
Kalau yang membuat tuduhan atau mengeluarkan kata-kata itu orang Islam, saya ingin ingatkan bahawa kata-kata itu juga akan diadili oleh Tuhan Rabbuljalil. Jangan ingat para hakim yang buat keputusan tersebut sahaja akan dihadapkan ke mahkamah rabbul jalil. Saya tidak ingin samakan mereka dengan nabi, tetapi pengajaran peristiwa Nabi Musa dan Nabi Khaidhir boleh dijadikan ukuran. Bayangkan, kalaulah Nabi Musa terus menuduh Nabi Khaidir dangan tuduhan-tuduhan liar bila melihat beberapa tindakan Nabi Khaidir yang pada pandangannya zalim. Begitu juga bila Imam Maliki tidak mahu membuat keputusan sehingga diambil tindakan oleh penguasa. Satu masa, debu-debu akan jatuh, dan langit akan terang.
Bagi saya, keputusan ini adalah keputusan mahkamah. Saya terima ia sebagai keputusan mahkamah. Mereka lebih tahu selok belok perundangan dan risiko dalam membuat keputusan penghakiman. Saya yakin mereka juga takut kepada Allah. Keputusan sebegini tidak semudah hukum matematik.
Saya ingin mendengar hujjah. Saya bencikan penghakiman berasaskan emosi. Saya bencikan manusia yang tidak pernah menerima keputusan jika keputusan tidak seperti yang mereka mahu. Saya bencikan mereka yang anggap diri mereka suci dari kesalahan, bersih dari dosa, dan pihak lain sentiasa tidak benar. Mereka ini, jika jadi pemerintah, akan bertindak jauh lebih zalim.