Kemana halatuju politik Melayu?
Saya orang Melayu, tapi bukan nasionalis. Saya mahu dikenali sebagai Islamis. Saya mengaku, orang lain akan ukur, tetapi pengukuran Allah yang saya utamakan. Pengukuran orang lain adalah maklumbalas yang harus saya beri perhatian.
Ini tidak bermakna saya tidak boleh tulis atau komen tentang politik Melayu. Semacam orang bukan Melayu juga boleh komen tentang politik Melayu, dan orang Melayu komen tentang politik bukan Melayu.
Saya tidak kemaskini blog ini sejak beberapa hari yang lalu kerana buat masa ini saya masih lagi tidak memblog sepenuh masa. Lagipun, saya lebih banyak merayau dalam alam internet dan media lain cuba membaca segala yang tersirat pasca PRU12.
Kemuncak PRU12 mungkin telah tercapai selepas pengumuman PM mengenai penerimaan UMNO atas perlantikan Ahmad Said sebagai MB Terengganu. Selepas ini lebih ramai rakyat Malaysia lebih mudah menarik nafas tanpa banyak suspens lagi.
Ini tidak bererti gelora politik akan reda, cuma ribut tu kuranglah sedikit. Namun, Melayu tidak harus lega dengan leganya ribut baru-baru ini. Ini adalah amaran. Amaran besar, dari yang Maha Besar. Kalau dulu, tepukan-tepukan ingatan di bahu tidak dihiraukan, langgaran-langgaran lori tidak diendahkan, Allah telah hantar taufan. Namun, Allah masih mahu beri peluang. Peluang untuk membaiki diri. Sedar dari bongkak. Sedar bahawa kita hanya manusia kerdil. Kita hidup ini perlukan orang lain. Orang lain juga perlukan kita.
Golongan Melayu yang pernah berkuasa dulu tetapi kini sudah jatuh, dan yang sedang berkuasa kini, perlu sedar, sedar, sedar! Jika belum mahu sedar, Allah telah menjanjikan, setiap golongan yang diberi peluang memerintah dunia ini ada had masanya. Yang saya tidak mahu, jatuhnya Melayu, akan membawa bersamanya kejatuhan Islam, deen yang dianuti oleh orang Melayu, di Malaysia. Mungkin ramai orang akan sanggah kenyataan ini. Saya cuma mahu bakal penyanggah itu lihat pada sejarah dunia dan Islam, dan sejarah Tanah Melayu ini.
Saya harap saya salah, sebab itu saya tulis "saya tidak mahu ......"
Comments
Terima kasih atas lawatan.