Menteri Penerangan dan Blog
Baru-baru ini saya tulis berkenaan satu program di DBP dan sidang akhbar oleh panelnya kemudian mendapat liputan di akhbar dan saya pautkan di blog saya ini. Saya kemudian merayau di beberapa blog terkenal untuk mendapatkan gambaran bagaimana agaknya respon para bloggers.
Tidak banyak yang saya jumpa. Tetapi saya boleh ceritakan di sini bahawa saya agak terkejut (tetapi tidaklah terkejut besar) bila di satu blog terkenal yang pautkan berita ini, sebegitu ramai pelawat yang memberi respon itu, hampir kesemuanya memberi pandangan negatif ke atas niat Menteri Penerangan untuk berjumpa dengan bloggers. Saya tidak berminat untuk timbulkan kontroversi, jadi saya tidak komen dan tidak pautkan blog itu ke sini.
Semalam, saya baca dalam akhbar The Star (Jumaat, 28 Mac), tulisan Wong Chun Wai (WCW). Saya cuba pula cari versi online, tetapi sampai pagi ini (Sabtu) pun tidak berjumpa. Tajuknya "New politics demands reforms", muka surat N19. Saya cuba juga cari akhbar berbahasa Melayu jika ada tulisan mengenai perkara yang sama, tetapi tidak berjumpa. Mungkin saya tidak pandai cari benda itu dalam belantara maya ini.
Saya belek-belek juga akhbar-akhbar Melayu versi kertas, pun tidak berjumpa. Saya difahamkan lebih 60 orang pengarang akhbar hadir dalam majlis itu. Kalau sesiapa jumpa versi online, tolong pautkan kemari, terima kasih.
Komen yang ditulis oleh WCW itu memberi pandangan positif kepada sikap Menteri Penerangan baru, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Katanya, menteri itu "has pressed the right buttons so far,....". Nak saya taip semula semua tulisan itu, kiranya agak panjang.
Cukup saya rumuskan tulisan itu bahawa menteri tersebut telah menunjukkan sikap proaktif untuk mendekati rakyat dan mendapatkan pandangan mereka. Beliau tidak mahu menjadi tamu menyampai anugerah/ hadiah. Katanya RTM akan fokus kepada berita, dan bukan personaliti, dan beliau masih tinggal di apartmen.
Tetapi beberapa baris ini saya kira patut saya taipkan semula dalam ayat asal WCW:
"It would be foolish for the Barisan to dismiss the electoral setback as merely temporary, and to expect a massive swing to coalition in four years. Malaysians have not just spoken up, but have made massive changes to the political systems, too. They want the old ways to go. They also want the media to change; and there are options they can turn to, including the New Media."
Semestinya, menteri itu ada tugas berat yang menunggu.
Abezi.