Merantau Blog Nobisha 2
Nobisha menulis: ".....Kalau protes "baju merah" telah membatalkan sidang kemuncak Asean, protes kumpulan "baju kuning" juga tak kurang hebat pencapaian. Kemuncak kepada protes berbulan-bulan itu menyaksikan dua buah lapangan terbang Thailand, termasuklah Suvarnabhumi ditutup (gambar atas).
Adakah ini yang dimaksudkan sebagai hak rakyat untuk berdemonstrasi?
Adakah ini cara untuk rakyat menukar kerajaan? "
Komen saya:
"
Nobisha, et al:
Bila membaca komen-komen berkaitan topik ini, saya berasa bimbang, malah amat bimbang, bila begitu ramai (kalau ikut peratusan pembaca blog ini) rakyat Malaysia yang memeluk demonstrasi sebagai sebahagian daripada demokrasi. Majoriti komen menyokong apa yang berlaku di Thailand dan disamakan dengan hak rakyat dan kebebasan rakyat, malah ada cubaan mengaitkan dengan keadilan Islam.
Ruangan ini tidak cukup untuk saya membawa hujah panjang antara positif dan negatif sikap yang hampir menjadi budaya tuntutan rakyat. Apa yang tidak banyak disedari ialah apa dan bagaimana para pemimpin dan penaja demonstarsi ini menggerakkan begitu ramai rakyat untuk sanggup meluang masa dan menghadapi risiko. Apa pula tujuan mereka sebenarnya.
Norizan cuba tidak mengulas, walaupun saya percaya beliau sarat dengan pendapat. Namun sebagai pelawat, saya rasa perlu saya katakan demonstrasi bersilih ganti sebegini adalah merugikan negara, termasuk mereka yang berdemonstrasi itu.
Bayangkan, bila golongan yang disokong oleh baju merah memerintah, golongan kuning akan melumpuhkan kerajaan dan ekonomi. Sebaliknya pula, bila golongan kuning memerintah, golongan merah pula yang akan melumpuhkan kerajaan dan ekonomi. Bila negara boleh disusun? Bila negara hendak ditadbir? Bila perniagaan boleh dilaksanakan? Bila pekerja akan bekerja? Bagaimana pemandu teksi hendak cari rezeki? Bila petani hendak bertani dan siapa pula yang berduit untuk membeli hasil tani? Apa pula kesan psikologi ke atas ramai mereka yang tidak terlibat: takut, bimbang, resah, stress, nanti rugi berniaga, nanti tanaman rosak, nanti berbagai nanti ....?
Bila begitu ramai yang menyokong keadaan ketidaksetabilan ini agar boleh berlaku di Malaysia, saya menjadi bimbang yang amat sangat. Dan bila ada pemimpin yang ingin perkara seperti ini terjadi, saya menjadi lebih bimbang.
Apa yang kita sebagai rakyat harus tahu ialah, dalam apa keadaan sekalipun, sama ada stabil atau sebaliknya, akan ada golongan yang mengaut untung, dan yang sentiasa berada dalam keadaan bersedia mengaut untung ialah golongan yang sudah kukuh ekonomi mereka. Golongan marhain tetap dipergunakan. Sebab itu, golongan yang kena belasah, kena tangkap sewaktu mana-mana demonstrasi ialah bukan golongan itu, tetapi golongan yang dipergunakan oleh mereka.
Saya menyeru agar kita mengambil iktibar dari usaha Rasulullah saw yang bertegas, dengan panduan Allah untuk meneruskan perjanjian Hudaibiyyah, walau menghadapi bantahan keras daripada para sahabah.
Golongan yang mengguna rakyat bangkit dengan kekerasan memang tidak seharusnya diberi tempat dalam masyarakat. Mereka jenis inilah yang tidak inginkan keamanan berlabuh dalam masyarakat. Mereka tahu, bila keamanan berlabuh, bila air tenang, bila langit cerah, bila ribut reda, bila badai sedar dari gila, orang akan nampak banyak perkara. Bila bayang bumi mula menggelapi bulan sewaktu gerhana, pemuka-pemuka masyarakat suruh orang ramai pukul tin kosong supaya 'naga' tidak telan bulan. Orang ramai yang jahil tentang astronomi mudah percaya, lalu memukul tin sekuat tenaga, memberi komitmen sesungguh hati, itulah demonstrasi mereka. Bila ahli ilmu astronomi kata itu cuma bayang bumi yang bergerak, dan bulan akan terang semula selepas gerhana, para pemuka tadi akan cepat mempersalahkan ahli astronomi dengan pelbagai tuduhan dan alasan. Yang penting, orang ramai berasa bimbang dan takut kehilangan bulan, takut hidup dalam gelap, dan terus mengharap mereka memimpin.
Saya percaya kebenaran lebih mudah bertakhta dalam keadaan aman. Dalam masa enam belas tahun Islam mula bertapak di Makkah sehingga tahun keenam Hijrah bila berlakunya perjanjian Hudaibiyyah dalam bulan Zulkaedah, tentera Islam hanyalah berjumlah sekitar 1400 orang. Bila keadaan aman hasil perjanjian Hudaibiyyah, fitnah pembohongan tentang Islam merendah kehampir kosong, mendung yang melitupi kebenaran lenyap ditelan cahaya, Islam lebih mudah tersebar ke merata pelusuk alam yang boleh didatangi utusan Rasulullah. Dalam masa dua tahun, sewaktu peperangan Hunain, dalam tahun lapan Hijrah, tentera Islam telah melebihi 10 ribu. Itulah hadiah keamanan."