UMNO 63 tahun
Salaam;
Hari ini. 11 Mei, 2009, UMNO merayakan ulang tahun ke 63. UMNO, tulang belakang BN, masih belum mampu bernafas lega sejak dikejutkan oleh tsunami pru12, 2008. Terimalah ia sebagai hakikat.
Para aktivis UMNO, dari semua peringkat, walaupun tidak semua terlibat, telah lupa kepada asas kewujudan UMNO, dan majoriti para aktivis ini telah lupa kepada prinsip, falsafah dan matlamat perjuangan. Malah, kalau ditanya, apakah prinsip dan falsafah perjuangan UMNO, saya yakin ramai yang akan terkial-kial mencari jawapan. Seharusnya gegaran pru12 menjadi pengajaran, dan pendukung UMNO tidak berselimut dalam penafian, bahawa UMNO menghadapi risiko kekalahan dan kehancuran. Para ahli muda terutamanya, bukan hanya hilang arah, malah tidak pernah tahu arah dan 'milestone' perjuangan. Majoriti golongan muda UMNO lebih nampak peluang menghimpit pemimpin, mencari peluang jalan pintas ke lubuk rezeki dan puncak kuasa, berbanding dengan rasa bertanggungjawab memikul beban amanah bangsa. Ini antara putik kehancuran.
Ramai umat Islam tahu, umur Nabi wafat ialah 63 tahun (kiraan tahun Hijrah). Saya tidak tahu apa kena mengenanya dengan umur UMNO. Tetapi kesan psikologi tetap ada, terutama bila BN/UMNO tewas teruk dalam pru-12. Namun, jika dikaji lebih dalam sedikit, walaupun BN kalah teruk, undi untuk UMNO masih gagah. Lihat sahaja para ADUN BN yang menang, sama ada di Selangor, Perak atau Pulau Pinang, hampir kesemua mereka adalah dari UMNO. Komponen BN yang hilang terlalu banyak undi dalam pru-12 baru-baru ini ialah MCA, GERAKAN, MIC dan PPP. MCA dan GERAKAN kepupusan undi dari kalangan pengundi berbangsa Cina, dan MIC dan PPP kepupusan undi dari kalangan pengundi berbangsa India. Kesemua MCA, GERAKAN, MIC dan PPP melontar batu ke arah UMNO, menyatakan UMNO adalah punca segalanya. Benarkah begitu? Saya tidak ingin mengulas perkara ini di sini, cukup sekadar membuka ruang untuk perbincangan di masa depan.
Saya juga tidak berhasrat membela UMNO di sini. Lebih baik saya buka ruang untuk pendukung UMNO membuka mata, minda dan hati. Selalunya kita lebih mudah bersikap defensif bila cuba meneliti kelemahan kendiri. Segala peringatan dan pendapat dipandang sepi dan serong sehingga terhantuk baru nak tengadah. Tetapi tengadah pun cuma untuk seketika. Mungkin mereka ini tunggu dilanggar oleh trailer baru mahu sedar bahawa mereka berada dalam bahaya yang amat sangat. Lebih baik lagi, cuba keluar daripada diri sendiri dan teropong ke dalam diri dari luar. Kalau tidak mampu keluar daripada diri sendiri, buka lah telinga, minda dan hati kepada coretan, dengusan, peringatan dan cadangan daripada orang di 'luar'.
Saya cadangkan UMNO meneliti semula falsafah perjuangannya. Perjuangan yang berasaskan "Ketuanan Melayu" sudah dicabar dan UMNO tidak mampu pertahankannya, antara sebabnya kerana ramai pemimpin UMNO sendiri yang menghancurkan 'Ketuanan Melayu", yang merosakkan amanah Melayu dan tidak menghormati Ketuanan Melayu. Ramai pemimpin UMNO lebih memperjuangkan "Ketuanan Diri" dan "Ketuanan Kelompok" dalam UMNO. Kemajmukan rakyat Malaysia, campuran keturunan Melayu, perubahan pemikiran dalam masyarakat Melayu dan bukan Melayu, menjadikan "Ketuanan Melayu" semakin tidak relevan dan tidak dapat bertahan. UMNO perlu menaiki rakit perubahan, atau hanyut mengikut arus ke jeram dan menjunam ke jurang.
Konsep 1Malaysia masih belum jelas (8 tiang seri 1Malaysia: Culture of Excellence, Perseverance, Humility, Acceptance, Loyalty, Meritocracy, Education, and Integrity). Ia lebih merupakan slogan sementara bagi memberi ruang kepada Najib untuk manarik nafas. Jangan nanti hanya jadi macam rukunegara. Bunyinya indah, tetapi tidak berpijak di jiwa. Di mana pula letaknya UMNO dalam 1Malaysia? Apa pula relevannya UMNO dalam 1Malaysia? Slogan, tidak seharusnya dianggap sebagai kata-kata keramat untuk memenangi perjuangan. Slogan hanyalah iklan yang menyentak perhatian. Perhatian akan mengundang pentafsiran. Pentafsiran akan dikait dan disandar kepada apa yang dilihat, dirasa dan dialami. Jika pentafsiran tidak seperti yang dijangka, slogan itu tidak akan laku dilelong lagi.
1Malaysia perlu dipenuhi dengan konsep, falsafah dan metodologi pembinaannya. Konsep, falsafah dan metodologi ini perlu diterapkan ke dalam benak pemikiran para pejuang (ada ke para pejuang dalam UMNO kini?). Proses penerapan ini tidak mampu berlaku dalam masa yang pendek. Ia memerlukan perancangan, strategi dan langkah perlaksanaan. Konsep 1Malaysia tidak akan dapat diterapkan hanya melalui program motivasi, ceramah dan drama. Ia memerlukan perlaksanaan serentak antara konsep, pengisian, latihan, pengukuhan, perlaksanaan dan teladan yang dipertontonkan oleh pemimpin.
Di zaman manusia semakin banyak terdedah kepada maklumat, dan ilmu pengetahuan, serta mampu mencapai komunikasi bebas di pelantar maya, konsep yang longgar dan falsafah yang dangkal akan mudah dilanggar dan disangkal. Keadaan ini menjadikan kerja penjelmaan konsep dan falsafah perjuangan baru untuk UMNO satu tugas yang maha berat. Apa lagi, jika konsep 1Malaysia tidak bertatahkan nilai sejagat yang sudah diterima oleh ramai rakyat negara ini. Jangan lupa bahawa masyarakat Malaysia berbilang kaum, berbilang adat dan berbilang agama dan semestinya berbilang pendirian.
UMNO mungkin bernasib baik jika PAS menukar arah kepada konsep dan pemikiran DAP-PKR. Kerana ia bererti PAS dalam proses pembikinan semula konsep perjuangan mereka yang tidak mengutamakan pembentukan negara Islam, atau penegakan hudud. Jika PAS memang memilih slogan universal untuk bersama dengan DAP-PKR, UMNO dan BN boleh mendahului perlumbaan. Tetapi, sekali lagi diingatkan, slogan semata tidak menjanjikan keagungan atau kemenangan.
Dilantai perjuangan, UMNO dicemuh bukan kerana konsep. UMNO dicemuh kerana perlaksanaan yang tidak adil. Perlaksanaan yang tidak adil ini kemudiannya disabitkan kepada konsep "Ketuanan Melayu" dan polisi DEB. Pengundi India dan Cina marah kerana mereka menganggap pemimpin UMNO dan BN tidak adil, mementingkan kroni dan keluarga, dan mereka sanggup mempertaruhkan kepercayaan kepada PAS, parti yang selama ini mereka curiga. Malah pemimpin DAP masih terkial-kial cuba menyangkal laungan PAS yang inginkan penegakan negara Islam atau hudud. DAP-PKR telah berjaya memujuk, walaupun sebahagiannya secara tidak benar, agar pengundi India dan Cina yakin bahawa PAS boleh dopercayai, pemimpin PAS baik dan tidak korup, Nik Aziz pergi kerja naik kereta buruk atau berjalan kaki (ini yang saya dengar sendiri). DAP-PKR-PAS telah berjaya membina kepercayaan di kalangan masyarakat India dan Cina bahawa mereka (PR) adalah alternatif yang lebih baik daripada UMNO/BN. Memang, kepercayaan adalah berasaskan persepsi, dan persepsi dibina melalui apa yang dilihat, didengar, atau dibaca berulang-ulang. DAP-PKR bekerja keras di kalangan pengundi India dan Cina supaya memberi peluang kepada PAS. Contoh terbaik, bila mereka begitu kukuh di belakang Nizar dalam kes kemelut politik di Perak.
Buat masa ini, UMNO/BN bernasib baik kerana bilangan Melayu lebih ramai daripada campuran India dan Cina. Jika lebih ramai Melayu pula yang ikut sama mempercayai dendangan DAP-PKR-PAS, hasrat UMNO/BN untuk kembali memerintah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah pastinya punah.
Demi mengisi usia 63 tahun, untuk terus bermaya dalam senario politik Malaysia, UMNO seharusnya meneliti lebih daripada konsep 1Malaysia.
Comments
Konsep 1Malaysia bukan konsep UMNO. Ia adalah landasan BN untuk memengangi kembali hati rakyat khususnya bukan Melayu untuk menyong BN.
UMNO perlu masuk woksyop untuk merencanakan wadah baru perjuangan. Setakat ini hanya slogan-slogan peribadi menjelang pertandingan..